PETALING JAYA – Ketua Penolong Pegawai Perubatan direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan dipercayai menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan kerja-kerja untuk syarikat isterinya.
Perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu dikeluarkan Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Labuan, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek ditahan di Pejabat SPRM Labuan ketika hadir memberi keterangan pada pukul 5.40 petang semalam.
“Suspek dipercayai menyalahgunakan kedudukannya dengan mendapatkan kerja-kerja ‘forwarding’ atau berkaitan pengurusan logistik di tempatnya bekerja pada 2023 dan 2024.
“Projek bernilai RM20,000 itu diberikan kepada syarikat milik isterinya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE