KUCHING – Sebuah stesen minyak di Batu 7, di sini dikenakan tindakan akibat kecuaian menjual petrol RON 95 kepada sebuah kenderaan berpendaftaran asing.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata tindakan itu dibuat selepas pihaknya mengesan video kenderaan asing itu sedang mengisi RON95 di stesen minyak berkenaan tular di media sosial.
“Tindakan kes diambil dibawah Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.
“Tindakan pantas telah dibuat oleh KPDN Sarawak dalam mengambil tindakan ke atas stesen minyak yang melanggar peraturan yang ditetapkan agar hak pengguna dapat dilindungi,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, peniaga yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dikenakan penalti seperti Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961.
Justeru, Matthew berkata pihaknya menyambut baik aduan daripada orang ramai dan agensi-agensi lain dalam usaha melindungi hak pengguna dan juga memastikan hanya rakyat Malaysia dapat menikmati RON 95 yang disubsidi kerajaan. – KOSMO! ONLINE