SAMBUTAN Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 telah berlangsung penuh kemeriahan pada 17 hingga 20 Julai lalu di Pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
SMP pada tahun ini mengangkat tema Harmoni Dalam Kepelbagaian untuk meningkatkan keharmonian antara penganut agama di negara ini.
Tema ini juga mencerminkan realiti masyarakat Malaysia yang majmuk dengan penerapan nilai Faham, Hormat dan Terima menuju keharmonian nasional.
Lebih daripada 200,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang, kaum dan budaya hadir memeriahkan SMP 2025 peringkat kebangsaan. Sekali gus, SMP terbukti sebagai medan terbaik dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.
Sambutan ini menjadi platform interaksi dan tapak integrasi untuk menyemarakkan semangat perpaduan serta memperluaskan pengetahuan tentang kepelbagaian adat, budaya dan tradisi masyarakat di negara ini.
Terdapat lebih 40 aktiviti utama diadakan sepanjang SMP 2025 berlangsung antaranya 22 Pameran Rumah KAMI (etnik), Pameran Perkampungan Rumah Etnik Kadazan Dusun & Orang Asli, Foodunites, Pameran Susur Masa, Pameran Malaysia Tanah Airku, Sukan Tradisional, Jualan Usahawan Perpaduan, pertandingan Boria, pertandingan busana etnik, pertandingan tarian etnik, pesta buku serta persembahan kebudayaan.

Bagi mendekati dan memperkukuh hubungan dengan masyarakat di peringkat akar umbi, siri Jelajah SMP turut dilaksanakan di seluruh negara.
Sebanyak tujuh negeri telah selesai mengadakan siri Jelajah SMP 2025 iaitu Melaka, Kedah, Kelantan, Sabah, Johor, Perlis dan Terengganu, manakala baki lapan negeri lagi akan diteruskan selepas ini.
Pada masa sama, Kementerian Perpaduan Negara juga sedang merangka pendekatan baharu bagi memperkukuh pelaksanaan SMP.
Sehubungan itu, bermula tahun hadapan, ia akan digabungkan dengan sambutan budaya etnik minoriti di negeri masing-masing.
Pendekatan baharu ini mengiktiraf warisan etnik minoriti dan membuka ruang kepada rakyat untuk menghargai kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia.
Kementerian sentiasa komited dalam mengukuhkan semangat perpaduan, kenegaraan, kebersamaan, muhibah dan kesukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia.