PETALING JAYA – Pemaju hartanah, SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) mengukuhkan kepimpinannya dalam perumahan bandar mampu milik menerusi pelancaran SkyAwani PRIMA Residences, tambahan terbaru kepada Siri Awani.
Terletak secara strategik di tapak berstatus pajakan seluas 0.8 hektar di Brickfields, SkyAwani PRIMA Residences merupakan pembangunan bersama dengan Perbadanan PR1MA Malaysia.
Ia menawarkan 492 unit kediaman seluas 900 kaki persegi berharga RM390,000, jauh di bawah kadar pasaran untuk pusat bandar Kuala Lumpur, yang mana penduduknya akan menikmati akses dengan hanya berjalan kaki ke Mid Valley Megamall, rangkaian transit awam, sekolah, pusat penjagaan kesihatan dan hab komersial.
Pelancarannya sempena Persidangan Hartanah ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam diserikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Acara itu telah menarik minat menggalakkan, dengan lebih 3,000 pendaftaran dan pengundian telah dijalankan untuk memilih 492 pembeli.
SkyWorld juga merupakan pemaju tempatan pertama yang menawarkan Pembiayaan Maybank MyDeco untuk projek yang baharu dilancarkan semasa fasa pembinaan.
Dengan itu, pembeli SkyAwani PRIMA Residences yang layak boleh mengakses pembiayaan sehingga 120 peratus (terhad pada RM250,000), yang mana tambahan 30 peratus untuk kerja dalaman dan reka bentuk, perabot, kelengkapan, estetika dan hiasan.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen untuk Menjadikan Kehidupan Lebih Baik, pihaknya berbangga untuk menyampaikan rumah yang mampu milik di lokasi strategik, dan dilengkapi dengan teliti bagi memenuhi keperluan pemilik rumah yang semakin berkembang.
“Dengan SkyAwani PRIMA, pembeli tidak perlu lagi berlengah-lengah atau tertekan tentang pengubahsuaian.
“Mereka boleh merancang, membiayai dan memperibadikan ruang dalaman kediaman mereka dari awal, dalam satu perjalanan yang lancar,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE