PETALING JAYA – Baru sehari pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemberian RM100 secara ‘one off’ kepada warganegara dewasa berusia 18 tahun, laman-laman pautan palsu dikesan mula tersebar meluas di media sosial dan aplikasi pesanan ringkas.
Pautan palsu yang kononnya menawarkan semakan dan tuntutan bantuan Sara RM100 itu dipercayai direka oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memperdaya rakyat.
Tinjauan Kosmo! mendapati beberapa pautan mencurigakan seperti Semak Bantuan RM100 Sekarang!, Permohonan Sara 2025 Dibuka, RM100 Masuk Akaun Anda Hari Ini dan RM100 Sara One-Off masuk MyKad mulai Ogos turut disertakan bersama logo agensi kerajaan bagi menambah keyakinan pengguna.
Terdahulu, Anwar memaklumkan pemberian RM100 itu diberikan melalui MyKad penerima di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) sewaktu pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia semalam.
Katanya, pemberiaan tersebut bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025 yang mana ia boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember ini. – KOSMO! ONLINE