PETALING JAYA – Gelombang solidariti rakyat Malaysia terhadap isu-isu melibatkan kanak-kanak semakin kuat apabila satu lagi tanda pagar mula tular di media sosial iaitu #JusticeForZara dan #Justice4Zara.
Selepas kebangkitan gerakan #JusticeForZaynRayyan yang menyatukan ribuan pengguna media sosial membela nasib arwah kanak-kanak autistik yang mati dalam keadaan tragis, kini muncul pula kesepakatan baharu menuntut keadilan buat pemergian pelajar tingkatan satu dikenali sebagai Zara yang didakwa menjadi mangsa buli.
Terdahulu, seorang wanita dipercayai ibu kepada pelajar yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di Papar, Sabah meluahkan kekecewaannya terhadap individu didakwa membuli anaknya menerusi satu hantaran di media sosial pada 17 Julai lalu.
Hantaran dimuat naik melalui akaun TikTok itu dipercayai ditulis sendiri oleh ibu mangsa yang turut disertakan dengan gambar keadaan anaknya sebelum disahkan meninggal dunia pada malam Khamis.
“Kepada pembenci-pembenci anak saya, mungkin kamu sudah berpuas hati melihat keadaan ini.
“Ingat, selagi kamu belum memohon maaf dan mengaku, saya juga tidak akan memaafkan kamu. Saya tahu nama-nama mereka yang selalu si Zara sebut…,” demikian petikan luahan tersebut.
Sementara itu, semakan Kosmo! mendapati, antara ciapan yang sedang tular mengaitkan adik Zara adalah “Kisah Zayn Rayyan belum lagi selesai, kali ini jom kita bantu tegakkan kebenaran buat adik Zara #JusticeForZara yang terpaksa menanggung penderitaan sehingga nyawa terkorban akibat dibuli. Sampai bila anak-anak ini terus jadi mangsa?” Kata Nur Salam.
“Sebarkan hashtag #Justice4Zara,” kata Mohd Fadli Salleh.
“Kenapa masalah buli di asrama ini tak pernah berakhir. Ianya meninggalkan trauma pada mak ayah untuk hantar dan lepas anak-anak ke asrama. #justice4Zara.
Kempen #JusticeForZara kini meraih lebih 300,000 sebutan di pelbagai platform. – KOSMO! ONLINE