PETALING JAYA – Seorang lelaki berdepan pengalaman aneh apabila pekerja kurier meninggalkan barang yang dipesan kepada individu berkemeja putih dan blazer hitam yang berada di hadapan pintu rumahnya.
Menerusi hantaran di Threads @Tuan.haik.hkm lelaki itu mendapati pekerja kurier tersebut bergurau, dan rupa-rupanya individu yang dimaksudkan adalah kucing bertompok hitam dan putih miliknya.
“Saya sudah cuak apabila pekerja kurier beritahu ada orang lain yang ambil ‘parcel’ depan rumah. Selepas minta gambar bukti, rupa-rupanya Aten (kucing) yang jaga barang saya,” katanya.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna terhibur dengan keletah mencuit hati pekerja kurier dan Aten yang ‘menjaga’ parcel tuannya.
“Bukan main ‘eksen’ betul yang ambil ‘parcel’ tu. Patutlah abang kurier cakap tiada respons langsung yang tukang jaga barang,” balas @Cik1124.
“Awal-awal baca perbualan rasa macam menyirap, tapi bila baca sampai habis terus berdekah. Bagus Aten (kucing) tolong jaga ‘parcel’ tuan,” komen @Cpfarahzahid.
“Tukang ambil ‘parcel’ bukan main lagi, siap pakai blazer hitam,” komen @az89. – KOSMO! ONLINE