PETALING JAYA – “Kalau nak tahu RM100 itu besar atau tidak, cuba niatkan sedekah. Kalau terasa berat nak bagi, fikir dua tiga kali – besar lah tu nilainya.”
Demikian perkongsian Dr. Kamilin Jamilin menerusi satu hantaran di Facebook yang kini tular ketika rakyat Malaysia mula menerima bantuan tunai RM100 secara one-off daripada kerajaan sebagai tanda penghargaan.
Hantaran tersebut menerima lebih 10,000 tanda suka dan 2,000 perkongsian hanya dalam tempoh beberapa jam, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen mengenai nilai sebenar bantuan yang diberi.
Terdahulu, sumbangan RM100 yang diberikan kepada rakyat dewasa berusia 18 tahun ke atas itu adalah antara inisiatif Kerajaan MADANI yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.
Pelbagai reaksi diberikan oleh para netizen terhadap hantaran tersebut.
“Setuju sgt Dr, RM100 amat bernilai bagi orang-orang macam kami,” ujar @Shay Amiro.
“Terbaik Dr analoginya,” kata @Mohd Zaki.
“Luar kotak, terbaik,” komen @Real Hazriq Eriq.– KOSMO! ONLINE.