PETALING JAYA – Kerajaan mengumumkan pengecualian kutipan caj 1.6 peratus Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) bagi tarif elektrik daripada program tenaga boleh baharu (TBB) yang dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).
Pengecualian berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025 itu melibatkan program Green Electricity Tariff (GET), Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Community Renewable Energy Aggregation Mechanisme (CREAM).
Menurut Petra, ia diharapkan akan memberikan insentif kepada pengguna, terutamanya syarikat korporat dan industri untuk terus menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran 70 peratus TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2050.
“Kutipan 1.6 peratus KWTBB daripada tarif elektrik pengguna telah diperkenalkan pada 2011, sebagai dana untuk memangkin pertumbuhan pembangunan TBB di negara ini melalui pelaksanaan mekanisme tarif galakkan atau Feed-in Tariff (FiT) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
“Sejak pelaksanaan mekanisme FiT ini, kapasiti tenaga boleh baharu teragih dalam sistem pembekalan elektrik negara, terutamanya daripada sumber solar telah meningkat secara mendadak iaitu daripada 5 megawatt (MW) pada 2011 kepada 5,100MW pada masa ini.
“Pada masa yang sama, program FiT ini juga telah berjaya meningkatkan komposisi pembekalan elektrik daripada sumber biogas, biojisim dan hidro kuasa kecil kepada 855MW,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Petra menambah, langkah pengecualian caj tersebut diharap akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB negara yang lebih progresif dan positif, seraya memenuhi tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang. – KOSMO! ONLINE