SEPANG – Seorang pegawai penguat kuasa ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini setelah disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku ‘counter setting’.
Penahanan pegawai tersebut dibuat kira-kira pukul 9.20 pagi selepas Unit Pemantau dan Unit Integriti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesan tindakan mencurigakan pegawai terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup di kaunter pemeriksaan masuk.
AKPS berkata, sejumlah wang tunai RM8,391.45, tiga peranti komunikasi, dan beberapa catatan nombor pasport ditemui dalam simpanan pegawai tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati catatan yang ditemui mengandungi empat digit terakhir nombor pasport, yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah.
“Pegawai itu pada mulanya diserahkan kepada Unit Integriti AKPS KLIA untuk siasatan dalaman sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah AKPS, pihaknya memandang serius sebarang bentuk pelanggaran integriti, terutamanya yang melibatkan keselamatan pintu masuk negara, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang terlibat.
“AKPS akan terus memberikan komitmen untuk terus memperkukuh pemantauan dalaman dan kerjasama antara agensi bagi memerangi salah laku dalam kalangan pegawai,” katanya. – KOSMO! ONLINE