PETALING JAYA – Meskipun belum pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan, Tan Khai Xin tetap beraksi cemerlang sebagai perenang akhir untuk membantu kuartet negara mencipta rekod baharu kebangsaan acara 4×200 meter (m) gaya bebas di Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025.
Khai Xin yang berganding mantap bersama Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal dan Lim Yin Chuen untuk menamatkan acara itu di tempat keenam dengan catatan tujuh minit 19.66 saat (s).
Catatan itu bukan sekadar yang terpantas musim ini, malah cukup untuk memadam rekod kebangsaan 7:19.75s dilakukan kuartet sama ketika meraih pingat perak di Sukan SEA Hanoi 2022.
Jurulatih kebangsaan, Eric Anderson menyifatkan pencapaian itu sebagai luar biasa, apatah lagi melihat kebangkitan Khai Xin daripada situasi sukar untuk menyerlah di saat pasukan memerlukan.
“Saya sangat bangga dengan mereka. Menetapkan rekod kebangsaan di sini sangat mengagumkan. Ramai tak tahu bahawa Khai Xin berdepan masalah kesihatan sejak beberapa minggu lalu.
“Namun, dia tetap tampil dan memberikan persembahan padu di peringkat akhir. Arvin dan Hoe Yean pula konsisten, satu petanda positif terhadap kedalaman skuad relay kita,” katanya kepada Kosmo!.
Turut mempamerkan peningkatan ialah Yin Chuen yang dua kali mencatat masa 1:50s dalam tempoh sehari, sekali gus memberi isyarat jelas barisan pelapis negara sedang menuju prestasi terbaik.
Hoe Yean yang juga penyumbang pingat tunggal skuad renang di WUG 2025 setakat ini, mengakui prestasi tersebut meningkatkan motivasi seluruh pasukan menjelang Sukan SEA Thailand 2025.
“Ia satu pencapaian baik dan memberikan suntikan semangat kepada kami ke Sukan SEA. Ini juga catatan musim terbaik saya dalam acara 200m bebas, hanya 0.3s daripada rekod peribadi. Keyakinan semakin tinggi, tapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya.
Dengan prestasi meyakinkan di Jerman, skuad renang negara kini dianggap sudah bersedia untuk memberi saingan dalam acara berpasukan di temasya dwitahunan di Bangkok akhir tahun nanti. – KOSMO! ONLINE