PETALING JAYA – Tidak sampai 24 jam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara ‘one-off’ di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara), orang ramai sudah mula merancang termasuk membeli barangan keperluan dan sumbangan amal.
Menerusi satu perkongsian di Threads milik @Husna921, seorang wanita memaklumkan rakannya yang bekerja sebagai jurutera gembira kerana layak menikmati insentif tersebut.
“Dia (rakan) telefon cakap gembira dapat RM100. Dia cakap sudah lama tak dapat bantuan sebab tak layak. Dia nak tebus dan letak dekat rak keperluan barang asas kat masjid,” tulisnya.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna berkongsi rasa syukur dan membuat perancangan awal untuk memanfaatkan bantuan tersebut.
“RM100 tu dah boleh beli beras lima kampit 5 kilogram (kg). Jadi, lepaslah bajet beras untuk akak dan suami selama lima bulan,” kata Norzy Omar.
“Ya seronok bila dapat. Boleh beli barang dapur. Bujang macam saya, RM100 tu dah cukup makan lebih seminggu,” komen Fitti.
“Alhamdulillah, dapat pun 31 Ogos nanti. Boleh jimat sikit kos belanja rumah. Duit lebih boleh belanja anak masa cuti sekolah,” kongsi pengguna lain.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan setiap warganegara yang berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara ‘one-off’ melalui MyKad di bawah program Sara.
Berita baik itu diumumkan oleh Anwar sewaktu pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, semalam. – KOSMO! ONLINE