MOSCOW – Sebuah pesawat penumpang membawa hampir 50 orang terhempas di kawasan terpencil dalam wilayah Amur, timur jauh Russia hari ini, tanpa tanda-tanda mangsa yang terselamat, kata pihak berkuasa.
Pesawat enjin kipas berkembar, Antonov-24 yang dikendalikan Angara Airlines itu dalam perjalanan ke bandar Tynda dari bandar Blagoveshchensk apabila ia hilang dari radar sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan).
Sebuah helikopter penyelamat kemudian mengesan bangkai pesawat yang terbakar di sebuah kawasan lereng gunung, kira-kira 16 kilometer dari Tynda.
Klip video disiarkan pasukan penyiasat Rusia menunjukkan asap berkepul-kepul keluar dari bangkai pesawat di kawasan hutan tebal.
Anggota-anggota penyelamat di dalam helikopter tidak menemui bukti mangsa yang terselamat, kata pasukan penyelamat tempatan, ketika agensi pertahanan awam Amur menghantar pasukan darat ke tempat kejadian.
“Pada masa ini, 25 orang dan lima unit peralatan telah dihantar, manakala empat pesawat dengan kru berada dalam situasi siap siaga,” kata mereka.
Bentuk muka bumi hutan menyukarkan untuk sampai ke lokasi dengan cepat, kata seorang anggota penyelamat kepada agensi berita TASS.
“Operasi mencari dan menyelamat utama pula sedang dilakukan melalui udara,” tambah mereka.
Angara Airlines iaitu syarikat penerbangan serantau yang berpangkalan di bandar Irkutsk, tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai nahas tersebut setakat ini.
Pesawat itu membawa 43 penumpang dan enam anak kapal, kata gabenor wilayah, Vassily Orlov.
“Antara penumpang pula terdapat lima kanak-kanak,” katanya.
Pesawat itu terhempas ketika cuba menghampiri lapangan terbang Tynda untuk kali kedua, kata Pejabat Pendakwa Raya Pengangkutan Timur Jauh Rusia.
“Semasa menghampiri Lapangan Terbang Tynda, pesawat itu berpusing untuk cubaan mendarat buat kali kedua, selepas itu hubungan terputus,” katanya.
Pihak berkuasa berkenaan tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai punca nahas.
Agensi berita TASS melaporkan, pesawat itu dibina hampir 50 tahun lalu.
“Pada tahun 2021, sijil kelayakan udara pesawat itu telah dilanjutkan hingga 2036,” demikian menurut TASS yang memetik sumber dalam perkhidmatan penerbangan.
Antonov-24 adalah pesawat dua kipas yang dibina pada era Kesatuan Soviet dan mula beroperasi pada tahun 1959.
Russia mengambil langkah untuk beralih daripada pesawat Soviet kepada jet moden sejak beberapa tahun lalu tetapi pesawat lama masih banyak digunakan di wilayah terpencil, dengan kemalangan kerap berlaku. – AFP