PETALING JAYA – Ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menegaskan mesej berbunyi “lantaklah nak hidup ke nak mati” sebenarnya ditujukan untuk dirinya pada hari kejadian kanak-kanak autisme itu hilang di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini pada 5 Disember 2023.
Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata perkataan yang diberikan menerusi WhatsApp kepada suaminya itu dibuat selepas dia cemas dengan kehilangan anak sulungnya tersebut.
Peguam: Saya ingin merujuk puan kepada #8 (tanda pagar) yang mengandungi perkataan ‘lantaklah kalau nak hidup ke nak mati’, boleh tolong jelaskan kandungan tersebut?
Ismanira: Kandungan di #8 tersebut, saya tidak maksudkan ke atas anak saya (Zayn Rayyan).
Pada hari tersebut dalam keadaan saya cemas kelam – kabut…sedih mencari anak saya yang hilang…Saya sangat perlukan perhatian suami dan saya hantar perkataan sebegitu supaya suami saya cepat pulang dan bantu saya. Perkataan tersebut saya maksudkan ke atas diri saya.
Ismanira berkata demikian dalam soalan tambahan pada pemeriksaan utama peguamnya berhubung perkataan dalam WhatsApp ‘lantaklah nak hidup ke nak mati” yang dihantar kepada Zaim Ikhwan Zahari.
Sebelum ini, pada April lalu, semasa perbicaraan diperingkat pendakwaan, mahkamah diberitahu terdapat beberapa mesej perbualan dalam WhatsApp berkaitan Zayn pada hari kanak-kanak itu hilang.
Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superitendan Mohd. Zaidi Abu Hassan berkata, perbualan WhatsApp itu antaranya ialah, ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’, mesej tersebut direkodkan pukul 12.20 hingga 12.59 tengah hari.
Mesej itu diekstrak daripada telefon bimbit yang dirampas ketika siasatan yang mana salah satunya adalah ‘iCloud’ yang didaftarkan atas nama ‘Ismanira’, manakala Huawei pula menggunakan akaun Google atas nama Zaim Ikhwan.
Mohd. Zaidi memaklumkan, perbualan WhatsApp atas nama ‘Baby Sayang’ dan ‘Manja’ itu diekstrak daripada dua telefon bimbit tersebut serta dua kad sim yang diserahkan oleh pegawai penyiasat kes berkenaan.
Saksi pendakwaan ke-25 itu memberitahu, pada 4 Jun 2024, dia telah diserahkan satu beg plastik mengandungi dua telefon bimbit masing-masing jenis Huawei dan Iphone dalam keadaan baik.
Sementara itu dalam prosiding sama, saksi pembelaan keempat Umi Syafiqah Rohizal, 30,
yang merupakan rakan karib Ismanira menyifatkan wanita yang dikenalinya selama 21 tahun sejak sekolah rendah itu seorang penyayang dan lemah lembut.
Saksi itu yang tinggal di Blok S Apartmen Idaman di Damansara Damai, turut mengakui Ismanira dan suaminya tidak pernah mengabai kedua-dua anaknya malah dia sendiri melihat Ismanira sentiasa memegang tangan kedua-dua anaknya yang mana Zayn dan adiknya akan berada di kiri dan kanan.
Ketika ditanya peguam adakah saksi itu pernah melihat Zayn dan adiknya berseorangan di taman permainan, saksi itu menjawab ‘tidak pernah’
Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi 4 Ogos ini.
Semasa prosiding Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE