ISTANBUL, Turkiye – Malaysia bersedia memperbaharui hubungan pertahanan sedia ada bersama Sudan yang mana langkah itu boleh dilaksanakan melalui pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) baharu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi pemeteraian MoU baharu itu, kedua-dua negara boleh
mengenal pasti bidang kerjasama terbaik serta mekanisme sesuai bagi melaksanakan kerjasama itu.
Katanya, kali terakhir kedua-dua negara memeterai MoU dalam kerjasama pertahanan ialah pada tahun 2004.
“Penerokaan kerjasama baharu seperti aktiviti pertahanan dan ketenteraan secara berkala, perkongsian maklumat dan latihan memberikan manfaat kepada kedua-dua buah negara.
“Kerjasama itu juga boleh dikembangkan dalam bidang sains pertahanan, teknologi dan industri, sekali gus memberikan kesan kepada Malaysia dan Sudan dalam jangka masa panjang,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.
Terdahulu, Mohamed Khaled meluangkan masa mengadakan pertemuan pertama kali bersama Menteri Pertahanan Sudan, Hassan Daoud Kayan sempena Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 di Istanbul.
Dalam pada itu, katanya, Sudan turut mengambil peluang mengemukakan cabaran dihadapi mereka dan bersedia menerima bantuan daripada Malaysia.
“Jadi, kita nyatakan bahawa dalam bidang pertahanan, Malaysia bersedia menawarkan tempat untuk diberikan latihan dan pendidikan kepada pegawai dan anggota mereka,” katanya.
Pada masa sama, Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan empat mata bersama Menteri Pertahanan Industri Azerbaijan iaitu Vugar Mustafayev bagi mengukuhkan hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.
Katanya, fokus pertemuan itu membincangkan strategi meningkatkan jalinan kerjasama pertahanan termasuklah melibatkan aspek
industri, teknologi serta potensi kerjasama dalam bidang tertentu.
“Potensi kerjasama itu turut merangkumi perkongsian dalam teknologi tercanggih dan termaju, kecerdasan buatan, penyelesaian autonomi serta risikan.
“Azerbaijan mengiktiraf Malaysia sebagai jendela strategik di rantau Asia Tenggara.
“Selain itu, kedua-dua negara juga optimis mengukuhkan kerjasama pertahanan sedia ada, seterusnya memanfaatkan Malaysia dan Azerbaijan,” katanya.
Untuk rekod, Mohamed Khaled tiba di Istanbul pada Selasa bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari yang mana antaranya bagi meninjau perkembangan pembinaan tiga buah Kapal Misi Pesisir (LMS) batch kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). – KOSMO! ONLINE