PETALING JAYA – Malaysia hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan di sempadan antara Kemboja dan Thailand, serta menggesa kedua-dua negara agar segera melaksanakan gencatan senjata demi mengelakkan konflik lebih buruk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Kerajaan Thailand, Phumtham Wechayachai petang tadi bagi membincangkan situasi yang semakin meruncing itu.
“Dalam perbualan tersebut, atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, saya merayu kepada kedua-dua pemimpin agar segera melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk serta membuka ruang untuk dialog damai dan penyelesaian secara diplomatik,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Anwar menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah menunjukkan isyarat positif dan kesediaan untuk mempertimbangkan gesaan tersebut, sekali gus memberi harapan terhadap penyelesaian aman menerusi saluran diplomasi serantau.
“Saya menyambut baik isyarat positif dan kesediaan yang ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan perkara ini.
“Malaysia bersedia untuk membantu dan memudahkan proses ini atas semangat perpaduan ASEAN dan tanggungjawab bersama,” katanya.
Terdahulu, ketegangan di sempadan Thailand – Kemboja terus memuncak apabila pertempuran bersenjata tercetus awal pagi tadi di kawasan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.
Insiden ini merupakan kali kedua tentera kedua-dua negara terlibat dalam pertempuran, selepas masing-masing saling menuduh melepaskan tembakan terlebih dahulu sejak ketegangan meningkat beberapa minggu lalu.
Menurut kenyataan tentera Thailand, insiden bermula apabila pasukan Kemboja didakwa melepaskan tembakan berhampiran kawasan Kuil Ta Moan Thom yang menjadi titik sengketa.
Thailand turut mendakwa Kemboja mengerahkan dron pengawasan sebelum menghantar anggota tentera lengkap dengan senjata berat ke kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja menafikan dakwaan tersebut.
Menurutnya, pertempuran berlaku susulan pencerobohan tanpa provokasi oleh tentera Thailand yang memaksa pasukan Kemboja bertindak bagi mempertahankan diri.
Krisis diplomatik antara kedua-dua negara turut memuncak selepas Thailand memanggil pulang dutanya di Kemboja semalam, selain mengumumkan pengusiran duta Kemboja dari Bangkok. – KOSMO! ONLINE