KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan skuad bola sepak wanita kebangsaan juga wajar diberi peluang menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk sesi latihan dan perlawanan, sama seperti skuad lelaki.
Katanya, pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah diminta menyusun jadual supaya Malayan Tigress dapat menggunakan venue itu apabila tiada perlawanan membabitkan Harimau Malaya.
“Selalunya hanya pasukan kebangsaan lelaki dapat bermain di situ, tapi saya telah mengarahkan perbadanan stadium supaya skuad wanita juga harus diberi peluang,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 hari ini.
Hannah turut mendedahkan pasukan pengurusan Malayan Tigress yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob telah pun membuat lawatan ke SNBJ dan perbincangan sedang berlangsung untuk menyusun jadual penggunaan padang.
Menurutnya, keutamaan fasiliti seperti padang latihan FAM lazimnya diberikan kepada skuad lelaki, namun pendekatan itu sedang dikaji semula bagi memastikan kesaksamaan kepada semua pasukan kebangsaan termasuk wanita.
“Kita sedang bina satu lagi padang latihan baharu di Putrajaya dan saya tahu pergerakan ke arah itu berjalan dengan baik,” katanya sambil menjelaskan perlunya pelaburan jangka panjang untuk skuad wanita mencapai potensi sebenar.
Dalam ucapannya sebelum itu, Hannah turut menegaskan saingan LWN 2025 bukan sekadar kejohanan domestik, sebaliknya medan utama melahirkan bakat elit bola sepak wanita negara.
“Ini membuktikan LWN bukan sekadar liga biasa, tetapi ia liga yang kompetitif, berkualiti tinggi dan terbukti melahirkan pemain kebangsaan, 80 peratus pemain skuad wanita negara hari ini datangnya daripada LWN,” ujarnya.
LWN 2025 menyaksikan penyertaan kelab seluruh negara dalam format kumpulan dan kalah mati selain menerima suntikan dana RM840,000 menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah pembangunan bola sepak wanita. – KOSMO! ONLINE