PETALING JAYA – Fenomena mangsa buli di sekolah berasrama terus membimbangkan apabila semakin ramai bekas pelajar tampil mendedahkan pengalaman ngeri mereka.
Pendedahan demi pendedahan mula tular di media sosial dan ada yang mendakwa pernah dibelasah sekumpulan rakan asrama sehingga mengalami kecederaan.
“Saya antara mangsa buli di sekolah asrama dekat Kedah tahun 2012. Saya tak pernah cerita pada ibu bapa sebab takut. Selepas hari-hari baca berita berkaitan insiden buli saya terpanggil untuk bercerita kisah hitam saya. Jujur saya katakan, sampai sekarang saya masih mimpi dikejar senior asrama.
“Saya akan dipukul, ditendang kalau saya tak ikut arahan senior untuk basuh baju mereka, untuk uruskan kerja-kerja mereka di asrama. Hampir setahun saya cuba bertahan dan akhirnya terpaksa beri beribu alasan pada keluarga untuk keluar dari sekolah tersebut,” kongsi Afina di Facebook.
Seorang lagi pengguna dikenali Tyra Rosli mendedahkan dia dibuli secara emosi oleh rakan sekelas.
Katanya, disebabkan latar belakang keluarga yang berada, rakan-rakan lain menganggapnya sebagai orang asing dan tidak sesuai untuk dibawa berkawan.
“Aku pernah jadi mangsa buli dari sekolah rendah! Siapa pembuli tu? Kawan sekelas yang acah perangai semulia malaikat. Siapa pengikutnya? Si ‘manusia’ yang yakin ke syurga.
“Kenapa aku dibuli? Sebab bagi mereka aku anak orang kaya jadi tak layak pun berkawan dengan mereka. Mereka menghasut kawan lain untuk pulaukan aku. Paling aku tak boleh lupa, mereka pulaukan aku masa pergi mandi-manda di pantai selepas selesai perbarisan Maulidur Rasul (aktiviti sekolah agama),” katanya.
Sementara itu, menerusi perkongsian Cikgu Mohd Fadli Salleh, seorang individu tampil menceritakan kisah pernah dibuli ketika berada di sebuah sekolah agama.
“Susulan ‘post’ adik Zara di sebuah SMKA di
Sabah…saya terpanggil untuk kongsi pengalaman saya dibuli di salah sebuah
SMKA di utara tanah air 21 tahun dulu.
“Di SMKA, tak guna istilah buli, ‘riot’, ‘torture’, ‘raging’ dan ‘rumble’…mereka gunakan istilah ‘tarbiah’ Konon-kononya dengan membuli, memukul dan membelasah sesiapa yang mereka rasakan ‘bermasalah’ akan buatkan individu tersebut berubah jadi lebih baik.
Kata wanita itu, dia dikasari oleh beberapa pelajar-pelajar asrama gara-gara mereka meuduhnya mencuri telefon bimbit seorang guru.
“Malamnya ketika sedang tidur, tiba-tiba dada saya ditumbuk, diseret ke tengah asrama dan ada juga dua orang lagi rakan. Kami terus dibelasah beramai-ramai. Setelah dibelasah, disuruh mengaku saya mencuri telefon.
“Walaupun berulang kali saya cakap saya tak mencuri, saya tetap dipukul berterusan. Saya berjaya melarikan diri dan terus ke bilik warden. Tapi tiada tindakan daripada warden,” dakwanya.
Tambah wanita itu, kejadian tersebut membuatkan dia trauma sehingga nekad untuk berpindah sekolah dan lebih mengecewakan keluarganya juga diminta tidak memanjangkan kes tersebut demi menjaga nama baik sekolah.
Menerima nasib sama, Noor Suraya menceritakan kisahnya dibuli secara fizikal dan mental sewaktu di asrama, termasuk dipaksa berjaga malam, dibelasah ketika tidur, dihina secara sistematik serta dikerah menjadi ‘budak suruhan’ pelajar senior.
“Setiap malam saya trauma nak tidur sebab tahu akan kena ‘turn’ saya pula kena belasah. Tapi waktu tu saya diam, cikgu tak tahu. Kawan pun takut nak tolong.
“Pelajar senior jadikan kami yang junior seperti haiwan tunggangan. Disuruh macam-macam sehingga diseksa tanpa rasa kesian akibat melawan kata. Tahun 2008 hingga 2010 jadi satu mimpi ngeri, namun sebabkan impian untuk belajar di sekolah tersebut, saya berdiam sehingga diri ini trauma jumpa orang ramai,” luahnya. – KOSMO! ONLINE