KOTA BHARU – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental terpaksa menahan sakit selama 30 minit selepas terjatuh dan tersangkut di dalam kolah mandi di rumahnya di Jalan Padang Tembak, Desa Kemumin dekat Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, mangsa yang berusia 48 tahun dipercayai tergelincir sebelum tersangkut di dalam kolah mandi ketika hendak membuang air besar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd. Nazri Ab.Rahman berkata, kejadian disedari bapanya yang berusia dalam lingkungan 70-an apabila melihat mangsa tersangkut di dalam kolah.
Menurutnya, bapa mangsa terus menghubungi talian kecemasan kira-kira pukul 3.49 petang.
“Semasa anggota bomba tiba, mangsa didapati berada di dalam kolah yang kebetulan tidak berisi air. Mangsa kemudian dikeluarkan dari kolah itu dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd. Nazri memberitahu, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa sedang bergegas ke bilik air untuk membuang air besar. – KOSMO! ONLINE