fbpx
Perkongsian ahli keluarga Zara Qairina di Facebook, semalam.

Kami reda, tapi tak akan berdiam diri – Keluarga Zara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kematian tragis pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir terus mencetuskan persoalan dan tanda tanya dalam kalangan keluarga dan masyarakat.

Menerusi catatan salah seorang ahli keluarga mangsa dikenali Syira Leizel di Facebook, wanita itu menyifatkan Zara Qairina, 13, sebagai anak yang lembut hati, taat dan tidak pernah mengeluh walaupun sering dibuli.

Katanya, mereka sekeluarga percaya pemergian remaja itu bukan kerana terjatuh sendiri, namun terdapat unsur lain di sebalik insiden malang tersebut.

Wanita itu turut berkongsi kronologi lengkap berdasarkan kefahaman keluarga dan menyatakan ia dibuat bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi demi keadilan buat Zara Qairina.

“Kami menulis kronologi ini bukan dengan tangan yang kuat, tetapi dengan tangan yang menggigil sambil air mata menitis tanpa henti.

“Ini bukan sekadar catatan, tetapi helaian terakhir kasih sayang kami buat seorang anak yang tidak sempat kami selamatkan.

“Kami merayu sepenuh jiwa kepada sesiapa yang membaca, tolong jangan tinggalkan komen yang menyakitkan. Tolong jangan persoalkan hal peribadi keluarga yang tiada kaitan. Kami terlalu sedih untuk menjawab anda.

“Kami hanya mahu anak kami dikenang dengan maruahnya. Kami reda, tapi kami tidak akan berdiam. Zara, kami mandikanmu dengan air mata. Tapi kami akan bela maruahmu dengan kebenaran,” katanya.

Menurut wanita itu, Zara Qairina merupakan pelajar berdisiplin, sopan dan tabah berdepan tekanan di asrama termasuk kes kehilangan barang, dipaksa belanja serta gangguan fizikal dan seksual yang didakwa dilakukan pelajar lain.

Tambahnya, Zara Qairina pernah memaklumkan kepada ibunya mengenai tekanan kerana mencatat nama pelajar yang tidak solat, serta dipanggil pelajar senior tertentu.

“Zara sering memberitahu keluarga pada pukul 2 hingga 3 pagi, ramai budak masih berjaga. Ada yang makan, berbual, berkumpul dalam bilik air atau ruang bawah untuk mendobi.

“Maklumat ini bercanggah dengan naratif tiada siapa tahu apa berlaku atau semua pelajar sedang tidur ketika Zara jatuh.

“Persoalannya sekarang, jika benar ramai pelajar masih bangun (terjaga) waktu itu, mengapa tiada seorang pun yang nampak, dengar jeritan, atau datang membantu?,” soalnya.

Katanya, pengabaian kawalan asrama memungkinkan kejadian itu berlaku, malah menyukarkan siasatan apabila tiada saksi yang tampil.

“Sekitar pukul 3 pagi (17 Julai) ibu kandung dihubungi oleh warden sekolah yang memaklumkan Zara jatuh. Zara koma.

“Ibu kandung diberitahu kaki dan tangan Zara patah. Tiada pengetua atau guru lain yang bercakap, warden yang menelefon. Zara jatuh dari tingkat tiga asrama perempuan.

“Ketika dijumpai, kepala terkulai dalam longkang, kaki kanan terjulur lurus, manakala kaki kiri terlipat pelik dan tangan terlentang, muka menghadap ke depan dalam keadaan terlentang.

“Tiada darah kelihatan di kepala atau badan hanya darah di tapak kaki kiri yang luka terbelah,” katanya.

Katanya, keadaan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan keluarga yang menuntut siasatan tulus berkaitan kes tersebut.

“Kami tidak percaya Zara jatuh sendiri. Zara mungkin didorong secara paksa, dipaksa keluar dalam ketakutan, dicampak dalam keadaan pengsan atau lebih memilukan, dia dicederakan terlebih dahulu dan kemudian dijatuhkan untuk menutup sesuatu.

“Apa pun kebenarannya, Zara mati dalam situasi yang tidak normal. Dan sekarang…semua orang bertindak seolah ini kematian biasa. Kami tidak akan benarkan itu berlaku,” tegasnya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan kejadian seorang pelajar di Sabah yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah pada 17 Julai lalu.

Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, beliau menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang mungkin boleh menggangu siasatan berhubung kematian Zara Qairina.

Menurut beliau, semua pihak wajar menghormati peribadi keluarga mangsa dan memberi ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN