SHAH ALAM – Kerajaan negeri terus memperkukuhkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka bagi menghadapi sebarang kemungkinan kes pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara.
Ini susulan fenomena jerebu rentas sempadan selain sepanjang tempoh cuaca panas dan kering ketika ini.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, antara langkah segera yang telah dilaksanakan termasuk peningkatan rondaan pemantauan darat serta penggunaan
teknologi dron di kawasan berisiko tinggi seperti tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.
Katanya, surat arahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemilik ladang turut dikeluarkan untuk mengambil langkah pencegahan dan kawalan ketat bagi mengelak kebakaran.
“Selari dengan itu, prosedur operasi standard (SOP) Program Pencegahan Kebakaran di Tanah Gambut juga telah diaktifkan melibatkan beberapa agensi berkaitan.
“Pelaksanaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) di kawasan hotspot yang dikenalpasti juga dilakukan bagi memperkukuhkan pelaksanaan di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, sebarang pembakaran terbuka adalah kesalahan serius dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 [Akta 127] yang memperuntukkan didenda sehingga RM1 juta, penjara lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.
Ujarnya, kompaun sehingga 50 peratus daripada penalti maksimum juga boleh dikenakan kepada individu atau pihak terlibat.
Jamaliah memberitahu, berdasarkan trend bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari 20 hingga 24 Julai lalu di empat daripada enam Stesen Pemantauan Kualiti Udara di Selangor telah mencatatkan penurunan pada hari ini.
“Ini melibatkan Petaling Jaya (83), Klang (80), Banting (81) dan Johan Setia (88) yang antara lain disebabkan faktor hujan dan penurunan jumlah titik panas.
“Shah Alam mencatatkan tahap kualiti udara sederhana apabila merekodkan peningkatan IPU sebanyak 90 berbanding 87 semalam. Hanya Kuala Selangor mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu 126 setakat pukul 11 pagi tadi, berbanding 86 semalam,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada kes penyakit yang dikaitkan dengan fenomena jerebu selain strok haba dilaporkan di negeri ini.
“Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan terus melaksanakan pemantauan rapi memgenainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE