GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang membongkar kegiatan sindiket pengedaran bunga ganja bernilai RM3.72 juta yang berselindung di sebalik sebuah inap desa menerusi satu siri serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), Selasa lalu.
Serbuan tersebut dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, kira-kira pukul 10 pagi hingga 3 pagi keesokannya.
Menurut Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, operasi berkenaan membawa kepada tangkapan empat lelaki berusia antara 31 hingga 39 tahun terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Vietnam.
“Dua lelaki tempatan ditahan di dalam bilik sebuah hotel manakala seorang lagi yang bertindak sebagai ‘transporter’ dadah ditahan di lobi hotel berkenaan di Bukit Mertajam.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas sembilan paket daun kering disyaki ganja seberat 9.2 kilogram serta lima paket tumbuhan kering disyaki bunga ganja seberat 4.2 kilogram,” katanya dalam dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat lanjut ke atas mereka membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Vietnam di Seberang Jaya dan penemuan sebuah rumah inap desa yang disewa dan kemudian dijadikan sebagai stor dadah.
“Hasil pemeriksaan ke atas rumah ini polis menemui tiga jenis beg iaitu dua bagasi biru, dua bagasi hitam dan dua beg berzip pelbagai warna yang mengandungi sejumlah 111 bungkusan plastik lut sinar berisi bunga ganja seberat 98.7 kilogram.
“Dadah ini diperoleh dari negara jiran dan dipercayai untuk pasaran tempatan dan juga Kuala Lumpur,” katanya anggaran dadah yang dirampas adalah seberat 112.1 kilogram.
Tambahnya, siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak Mac lalu dan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan terutama sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi positif kombinasi amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine.
“Rekod lampau suspek turut mendedahkan tiga daripada mereka mempunyai pelbagai kes jenayah melibatkan dadah, termasuk seorang yang pernah terlibat dalam 13 kes berkaitan dadah,” katanya.
Katanya, siasatan turut mendedahkan rumah inap desa jenis kondominium yang dijadikan stor dadah itu disewa sejak seminggu lalu dengan harga RM2,800 sebulan oleh suspek tempatan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. – KOSMO! ONLINE