fbpx
Gambar hiasan.

Himpunan Turun Anwar: PM pesan buat secara aman, tertib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi kerjasama sewajarnya bagi memastikan keselamatan awam terpelihara susulan penganjuran Perhimpunan ‘Turun Anwar’ pada Sabtu ini.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri hari ini berkata, langkah itu bagi memastikan kelancaran perhimpunan tersebut dapat dibantu tanpa sebarang intimidasi atau sekatan tidak wajar.

“Perdana Menteri mengambil maklum tentang kempen dan perhimpunan tersebut. Sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan dan semangat reformasi, beliau menitipkan pesanan agar demonstrasi atau perhimpunan ini berlangsung secara aman dan tertib.

“Pendirian Kerajaan Madani jelas dan konsisten, kita merayakan demokrasi. Hak untuk bersuara, termasuk daripada pihak menentang kerajaan adalah satu elemen penting dalam negara yang bebas dan adil.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, ruang ini bukan sahaja dibuka luas, malah dihormati,” katanya.

Tunku Nashrul berkata, perkara berkaitan tidak bersetuju dengan kerajaan termasuk menerusi demonstrasi awam tidak akan disekat secara membuta tuli.

“Sebaliknya, ia dianggap sebahagian daripada amalan demokrasi sihat dan matang selagi tidak melanggar undang-undang dan tidak mengancam keselamatan awam.

“Marilah kita terus menjunjung demokrasi dengan akal waras, semangat matang dan sikap bertanggungjawab. Kerajaan Madani berdiri teguh bukan kerana menutup ruang kritikan, tetapi kerana membuka ruang toleransi dengan penuh ihsan dan istiqamah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN