LONDON – Khabar kurang baik buat peminat-peminat Tottenham Hotspur apabila kapten, Son Heung-min mungkin meninggalkan pasukan itu dan berhijrah ke Amerikat Syarikat (AS) pada jendela perpindahan kali ini.
Los Angeles FC (LAFC) dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya dan sedia menawarkan gaji lumayan bagi memujuk pemain antarabangsa Korea Selatan berusia 33 tahun itu.
Difahamkan, pengerusi Spurs, Daniel Levy sudah memberikan lampu hijau kepada pengurus, Thomas Frank untuk melepaskan bintang itu sekiranya menerima tawaran sekitar £50 juta (RM286.66 juta).
Perpindahan itu bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan Frank sudah memiliki perancangan tersendiri, terutamanya selepas mendapatkan khidmat pemain tengah West Ham United, Mohammed Kudus.
Bagaimanapun, Heung-min dikatakan sedia untuk menolak tawaran yang bakal dilakukan LAFC kerana dia mahu terus kekal di Stadium Tottenham Hotspur dan merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Memandangkan tempoh jendela perpindahan masih panjang, apa sahaja boleh berlaku dan dijangka beberapa kelab lain yang sedang memerhati mungkin akan tampil membuat tawaran mendapatkan khidmatnya.
Sebagai rekod, sejak menyertai Spurs dari Bayer Leverkusen pada 2015, Heung-min sudah melakukan 333 penampilan dan berjaya menjaringkan 127 gol sehingga memahat namanya sebagai legenda pasukan itu. – AGENSI