PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa hairan terhadap sikap pembangkang yang tidak banyak berbicara tentang isu rasuah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, situasi pembangkang masa kini tersebut berbeza berbanding semasa beliau menjadi pembangkang.
“Kita lihat dalam kalangan pembangkang tak banyak bicara soal rasuah. Hairan. Kalau saya dulu masa jadi pembangkang, (bicara) soal rasuah nombor satu. Sekarang rasuah ermmm..,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di sini hari ini.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan beliau tidak perlu melepaskan jawatan seperti didesak pembangkang kerana tidak terlibat dengan rasuah dan mencuri wang rakyat.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan telah menerima 60 laporan polis berhubung Himpunan Turun Anwar yang dirancang pembangkang di ibu negara pada Sabtu ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan tiga perkara utama masih kekal dan perlu dipatuhi penganjur serta peserta himpunan tersebut.
Tiga larangan utama itu tidak dibenarkan membawa senjata berbahaya, ucapan tidak menyentuh 3R (raja, agama dan kaum) dan tidak dibenarkan membawa kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE