BANGKOK – Seorang guru di wilayah Nakhon Si Thammarat didakwa memukul seorang pelajar berusia lapan tahun menggunakan batang penyapu selepas kanak-kanak itu secara tidak sengaja menjatuhkan manik di lantai bilik darjah, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Waris budak lelaki itu berkongsikan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut dan mendakwa, pihak sekolah tidak mengendahkan laporan mereka.
Mereka berkata, serangan itu berlaku pada 18 Julai lalu sejurus sebelum sesi persekolahan berakhir.
Menurut waris, mereka mula risau apabila mangsa menjadi pendiam dan tertekan di rumah. Setelah menyoalnya, kanak-kanak itu menceritakan kejadian tersebut.
Waris berkata, mangsa sedang membantu membersihkan kelas bersama rakan dan gurunya apabila dia secara tidak sengaja menjatuhkan manik.
Guru tersebut berang lalu memukul mangsa berkali-kali menggunakan kayu penyapu yang dipegangnya.
Rakaman CCTV juga menunjukkan guru terbabit menarik selendang dipakai mangsa sebelum melepaskannya.
Rakan sekelas mangsa kelihatan terkejut tetapi meneruskan pembersihan.
Selepas rakaman itu tular, saluran berita Channel 7 melaporkan bahawa pengarah sekolah mengadakan pertemuan dengan mangsa dan ibu bapanya serta berjanji untuk menyemak dengan teliti bukti CCTV.
Beliau turut memberi jaminan bahawa guru terbabit telah digantung daripada tugasnya ketika jawatankuasa khas sedang dibentuk untuk menyiasat dakwaan penderaan tersebut. – AGENSI