fbpx
ALCARAZ terpaksa menarik diri daripada menyertai kejohanan berstatus Master 1000 itu bagi memastikan dirinya cergas sepenuhnya. - AFP

Giliran Alcaraz tarik diri Terbuka Kanada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TORONTO – Bintang tenis No. 2 dunia, Carlos Alcaraz menjadi pemain terbaharu menarik diri daripada Terbuka Kanada yang dijadualkan berlangsung dari 27 Julai hingga 7 Ogos ini.

Bintang muda dari Sepanyol itu memaklumkan keputusan berkenaan terpaksa dibuat kerana memerlukan masa untuk pemulihan fizikal dan mental selepas melalui jadual padat.

Katanya, dia mengalami masalah otot yang  memerlukan tempoh permulihan untuk kembali pada tahap terbaik.

“Selepas beberapa minggu berturut-turut bertanding tanpa rehat, saya tidak dapat beraksi di Toronto tahun ini. Saya alami sedikit masalah otot dan perlu pulih sepenuhnya dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran akan datang.

“Kepada pihak kejohanan dan peminat di Kanada, saya mohon maaf. Saya berjanji akan kembali tahun depan,” katanya.

Sebelum ini, pemain No. 1 dunia dari Itali, Jannik Sinner serta juara Grand Slam, Novak Djokovic dari Serbia turut mengesahkan tidak menyertai kejohanan berstatus Master 1000.

Dua lagi pemain seperti bintang Britain, Jack Draper dan pemain Australia, Jordan Thompson juga membuat keputusan menarik diri lebih awal.

Kebanyakan pemain utama memilih merehatkan diri bagi membuat persiapan menghadapi Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang bakal bermula 25 Ogos ini termasuk pemain wanita No. 1 dunia, Aryna Sabalenka bagi mendapatkan rehat tambahan sebelum berlepas ke New York.

Tanpa kelibat pemain utama, Alexander Zverev dari Jerman di ranking ketiga dunia akan muncul sebagai pilihan pertama kejohanan lelaki di Toronto diikuti wakil Amerika Syarikat, Taylor Fritz.

Bagi kejohanan wanita yang berlangsung serentak di Montreal, Coco Gauff dinamakan pilihan utama, manakala juara Wimbledon, Iga Swiatek dari Poland menjadi pilihan kedua. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI