fbpx
Hakimi menunjukkan gambar rangka yang ditemui dalam kebun kelapa sawit ibunya di Jalan Saring Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.-FOTO/ ISKANDAR SHAH MOHAMED

Gigil jumpa rangka manusia di kebun ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAK BERNAM – “Ini bukan bangkai haiwan, ini tengkorak manusia”.

Itu kata Hakimi Hendra Salleh, 28, yang menggigil ketika menemukan rangka manusia di kebun kelapa sawit milik ibunya di Jalan Saring Tebuk Jawa, Sungai Air Tawar di sini, semalam.

Menurut pengawal keselamatan itu, ketika kejadian dia mahu mengait tandan kelapa sawit di kebun tersebut, kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Saya kemudian melihat satu objek pelik menyerupai rangka yang reput dan hampir hancur di atas tanah.

“Terkejut dengan penemuan itu, saya menghubungi polis bagi tindakan lanjut,”katanya ketika ditemui di Kampung Sekendi di sini, hari ini.

Tambah Hakimi, kebun seluas lebih 0.4 hektar itu sebelum ini diusahakan penduduk kampung selepas bapanya meninggal dunia lebih tiga tahun lalu.

“Kejadian itu kali pertama dialami dan saya masih terkejut sehingga sukar tidur kerana terbayang rangka berkenaan,” kata anak keenam daripada 10 beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh daripada patologi.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan satu rangka manusia yang belum dikenal pasti identiti itu ditemukan di kebun yang berada pada jarak kira-kira satu kilometer (km) dari jalan utama.

Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd. Khairani di talian 018-2510452 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI