fbpx
TANG JIE (kanan) dan Ee Wei bangkit melangkah ke suku akhir menerus kemenangan ke atas Jia Xuan-Meng Ying di pusingan kedua hari ini.

‘Gangster Duo’ bangkit ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan semangat juang cukup tinggi ketika melakukan kebangkitan bagi meneruskan kemaraan ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China.

Pada pusingan kedua di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou hari ini, pasangan No. 4 dunia itu bermula agak perlahan apabila membenarkan beregu tuan rumah, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying mendahului 17-9 di set pertama.

Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei tidak berputus asa apabila mengejar mata demi mata sehingga berjaya menyamakan kedudukan 20-20 sebelum menamatkan set pertama menerusi kemenangan 22-20.

Memasuki set kedua, pasangan yang diberi julukan ‘Gangster Duo’ itu kembali mendapat keyakinan untuk menguasai sepenuhnya permainan dan melengkapkan kemenangan 22-20, 21-17.

“Memang kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini (semalam) tetapi pada awalnya, kami bermula sangat perlahan. Bagaimanapun, sebenarnya pemain lawan menampilkan aksi lebih baik di set pertama.

“Kami sangat lega kerana dapat melakukan kebangkitan. Saya fikir kami mulakan perlawanan agak perlahan kerana faktor angin yang mungkin memberi kelebihan kepada lawan,” kata Tang Jie kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menjelang aksi suku akhir esok, mereka akan bertemu satu lagi beregu China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui yang mengejutkan pilihan kelima dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 22-20, 21-15.

Bagaimanapun, Ee Wei menjelaskan mereka berada dalam keadaan cukup yakin dan optimis ketika ini masih mencatat kemenangan demi kemenangan selain akan melakukan persiapan terbaik bagi aksi suku akhir nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI