SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Program Motivasi Rumah Tangga eHati pada September tahun lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, mereka terdiri empat lelaki dan dua wanita berusia 26 hingga 47 tahun ditahan sekitar daerah ini pada 18 Julai lalu.
Katanya, rakaman percakapan mereka itu telah diambil kerana disyaki terlibat dalam penganjuran program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 7 (Doktrin Palsu), Seksyen 8 (Dakwaan Palsu), Seksyen 10 (Menghina atau Menyebabkan Dipandang Hina, dll., Agama Islam) dan Seksyen 16 (Penerbitan Agama yang Bertentangan dengan Hukum Syarak), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Ini kerana disyaki berlaku suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau menambah, JAIS juga telah dan sedang merakam percakapan 38 orang saksi bagi membantu siasatan setakat ini.
Tegasnya, pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 282 orang peserta yang menyertai program itu untuk diambil keterangan.
“Sebanyak tiga buah buku dan tiga keping VCD yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mendapatkan ulasan dan pandangan hukum syarak.
“Siasatan menyeluruh juga dilakukan merangkumi keseluruhan modul atau program yang ditawarkan oleh pihak penganjur,” katanya.
Jelasnya, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, JAIS menafikan ‘disclaimer’ yang disarankan oleh Panel Sesi Penjelasan bermaksud keseluruhan modul atau aktiviti program eHati dibenarkan pihaknya.
Ia berikutan syarikat tersebut tidak pernah merujuk keseluruhan modul program berkaitan kepada JAIS selepas teguran dan syor dibuat oleh Panel tersebut sehingga ke hari ini. – KOSMO! ONLINE