fbpx
Mendiang Dr. Bee Ling

Doktor Malaysia maut terjatuh di pergunungan Dolomites, Itali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang doktor wanita dari Hospital Pakar Metro di sini maut selepas terjatuh dari tebing setinggi 100 meter ketika mendaki gunung Croda del Becco di kawasan pergunungan Dolomites di Itali, Jumaat lalu.

Mangsa, Dr. Khaw Bee Ling, 60, yang merupakan pakar perubatan dalaman dilaporkan hilang selepas terpisah dengan rakannya sehari sebelum itu.

Menurut laporan media Itali, mangsa dipercayai telah tersasar dari laluan asal di kawasan Belluno sebelum tiba di satu cerun curam yang berbatu dan licin lalu terjatuh ke dalam rekahan di kaki tebing.

Difahamkan, mendiang sempat menghantar mesej kepada rakannya memaklumkan bahawa dia sesat dan memerlukan bantuan sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan.

Usaha menyelamat melibatkan penggunaan helikopter, dron dengan kamera haba, unit anjing pengesan serta pengesanan lokasi telefon bimbit.

Mayat mangsa ditemui keesokan pagi oleh pasukan penyelamat dan dibawa ke bilik mayat di Cortina.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Hospital Pakar Metro, Dr. Tneoh Shen Jen berkata, pemergian Dr. Bee Ling merupakan satu kehilangan besar buat hospital dan seluruh warga kerja.

“Beliau telah berkhidmat lebih 30 tahun dan merupakan seorang yang berdedikasi, profesional serta penyayang terhadap pesakit. Sumbangan dan perikemanusiaan beliau amat dihargai oleh semua pihak,” katanya.

Katanya, Dr. Bee Ling yang tinggal seorang diri di sini dan ibu kepada seorang anak itu sentiasa melayan pesakit dengan penuh belas kasihan dan mesra.

“Pihak hospital juga telah memuat naik ucapan takziah rasmi di laman media sosial sebagai tanda penghormatan kepada mendiang,” ujarnya.

Difahamkan, urusan pengebumian mendiang telah diuruskan oleh anak perempuannya yang menetap di Amerika Syarikat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI