PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini sedang mengusahakan kaedah penyerahan pasport secara digital kepada jemaah haji bagi mengurangkan pergerakan ke pejabat cawangannya secara fizikal.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata ia adalah antara usaha yang dilaksanakan agensi kerajaan itu untuk menambah baik perkhidmatan kepada 9.68 juta pendepositnya.
“Semoga pentadbiran dan pengurusan haji terus terbaik di dunia. Insya-Allah,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berhubung penambahbaikan yang dilakukan oleh TH untuk musim Haji tahun ini.
Tambah Zulkfli,sepanjang musim Haji tahun ini, TH memperkenalkan pelbagai sistem dan penggunaan teknologi antaranya GoogleWalk, e-bimbingan dan THhujjaj bagi memudahkan pengurusan serta pemantauan jemaah di Tanah Suci.
Katanya lagi, buku rawatan jemaah Haji digital diperkenalkan bagi membantu petugas perubatan menyemak rekod kesihatan jemaah secara dalam talian dan mengelak kehilangan buku rekod rawatan fizikal.
“Aplikasi Hajj Mobiliti memudahkan petugas menyelaraskan pergerakan jemaah sepanjang musim haji,” katanya.
Zulkifli berkata TH sentiasa melakukan penilaian dari semasa ke semasa untuk memastikan proses dan pengurusannya adalah yang terbaik di dunia. -KOSMO! ONLINE.