KUALA LUMPUR – Wilayah Persekutuan Labuan berpotensi untuk menjadi hab pameran bunga serantau menerusi penganjuran Borneo Flora Festival @ Labuan 2025 (BFF2025) yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Julai ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan),Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata, festival yang akan diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa (KSLA), Labuan itu bakal menghimpunkan lebih 200,000 jenis bunga dan tumbuhan tropika, termasuk orkid, rafflesia, herba ubatan dan paku pakis asli.
Katanya, BFF2025 bertujuan merangsang industri landskap dan hortikultur tempatan, menjana ekonomi komuniti setempat serta menarik lebih ramai pelancong dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan.
“Ia langkah pertama untuk menjadikan Labuan sebagai hab bunga serantau, selain memupuk minat pelancong menjadikan Labuan sebagai destinasi hujung minggu dan musim cuti,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Suhaili Abdul Rahman ( PN- Labuan) yang ingin tahu apakah jangkaan pulangan pelaburan (ROI) penganjuran Borneo Flora Festival dan adakah kerajaan bercadang untuk menjadikan perkarangan Kompleks Sukan
Laut Antarabangsa Labuan sebagai tapak kekal acara tersebut.
Tambah Zaliha, festival itu dijangka menerima kehadiran 50,000 pengunjung dengan nilai perbelanjaan langsung sekitar RM20 juta, manakala kesan pengganda ekonomi diunjur menjana RM35 juta nilai tambah kasar serta mencipta 400 peluang pekerjaan sementara.
Zaliha berkata, konsep penganjuran BFF2025 juga berbeza dengan festival bunga luar negara yang lebih menumpukan kepada keratan bunga.
“Festival ini lebih mesra komuniti dan turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan inap desa apabila ramai penduduk Labuan menawarkan kediaman mereka sebagai penginapan pelancong,” jelasnya.
Menurut beliau, kerajaan masih meneliti cadangan menjadikan KSLA sebagai tapak tetap festival kerana pelbagai aspek seperti logistik dan infrastruktur perlu diambil kira terlebih dahulu.
“Sebagai contoh, Floria Diraja Putrajaya hanya ditetapkan di Presint 4 selepas tujuh tahun penganjuran,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mempelawa semua Ahli Parlimen untuk hadir ke BFF2025 sambil memanfaatkan diskaun penerbangan MAS dan MASWing masing-masing sebanyak 15 dan 20 peratus. – KOSMO! ONLINE.