fbpx
Chan Foong Hin ketika di Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat: 4 strategi utama hadapi EUDR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi telah merangka empat strategi utama dalam usaha memastikan pematuhan kepada Peraturan Deforestasi Kesatuan Eropah atau European Union Deforestation Regulation (EUDR) yang dijangka berkuat kuasa pada 30 Disember 2025.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata, antara langkah yang diambil ialah memastikan tiada aktiviti penyahhutanan atau penerokaan tanah baharu untuk tanaman sawit dan getah selepas 31 Disember 2020, dengan sesi libat urus telah diadakan bersama kerajaan-kerajaan negeri.

“Kita juga memperkasa sistem kebolehjejakan produk agrikomoditi negara melalui pelaksanaan sistem digital seperti SIMS, GeoSawit, e-MSPO, MSNR Trace, MTCS dan Sistem Jejak Koko,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Muda) ang ingin tahu tindakan kerajaan bagi mengurangkan impak European Union Deforestation Regulation (EUDR) terutamanya dalam tanaman getah, kelapa sawit dan sebagainya.

Selain itu, tambahnya, KPK juga memastikan hanya tanah yang mempunyai pemilikan sah dibenarkan menjalankan aktiviti perladangan, serta menekankan keperluan amalan pengurusan buruh yang baik selaras dengan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Dalam menangani cabaran EUDR, beberapa inisiatif telah digerakkan antaranya, sesi rundingan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan badan antarabangsa, penubuhan Jawatankuasa Khas Pelaksanaan EUDR di peringkat nasional serta penubuhan Ad-Hoc Joint Task Force bersama kerajaan Indonesia dan EU.

Bukan itu sahaja, kerjasama melalui pelantar antarabangsa seperti CPOPC, ANRPC, ITRC, ITTC dan ICCO; perluasan pasaran menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA); program kerjasama dengan agensi luar negara untuk memperkasa pekebun kecil, termasuk Program Kesedaran Pekebun Kecil (GIZ, Jerman), NI-SCOPS (Belanda dan UK) serta Projek KAMI (EFI).

Menurut Foong Hin , program tersebut membantu memastikan pekebun kecil tidak tercicir daripada rantaian bekalan global, khususnya ke pasaran Eropah.

“KPK komited untuk terus melibatkan semua pihak berkepentingan agar pelaksanaan EUDR tidak menjejaskan sektor agrikomoditi negara,” katanya.

Katanya, kementerian turut meneroka pasaran baharu dan memperkukuh pasaran sedia ada bagi memastikan industri agrikomoditi terus berdaya saing di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI