fbpx
Naqiu bertindak sebagai juri program pencarian bakat, The Ascott Star Rewards Festival 2025 di samping Ara Johari dan Khai Bahar.

‘Dah berpuluh tahun, tak nak dengar orang nyanyi macam saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tanggungjawab sebagai juri The Ascott Star Rewards Festival 2025 tidak dipandang ringan penyanyi Naqiu yang menekankan bahawa keunikan dan faktor X menjadi kriteria utama dalam menilai potensi seorang penghibur.

Menurut Naqiu atau nama lengkapnya Wan Naqiuddin Mohd. Najib, 39, faktor itu jarang ditemui pada mana-mana program pertandingan nyanyian yang membawa kepada lambakan penyanyi yang tidak mempunyai identiti tersendiri.

“Saya rasa, corak untuk artis baharu sekarang sudah mula berulang. Jadi saya nak cari sesuatu yang unik.

“Maksudnya, kita masih lagi kurang pelapis penyanyi yang ada faktor X. Kebanyakannya nak meniru artis sedia ada. Jadi saya cari sesuatu yang unik dan tidak pernah ditemui lagi,” katanya ketika ditemui di Festival Ascott Star Rewards (ASR) di pusat beli-belah Mytown, di sini, hari ini.

Selain itu, pelantun lagu Episod Cinta itu berkata, ini bukan kali pertama dia bergelar juri di pertandingan nyanyian.

Tambahnya, dia dapat melihat wujudnya lambakan penyanyi yang tiada keaslian dan identiti sebagai penghibur yang berbakat besar.

“Kebanyakannya nak jadi macam ratu rock kita, Ella, Datuk Awie atau Azlan Typewriter. Jadi saya tak nak ada dua atau tiga penyanyi sebegitu sebab kita sudah ada ramai dalam industri.

“Jadi saya tekankan untuk mencari penyanyi yang jarang kita jumpa dari segi bakat nyanyiannya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, vokalis kumpulan Boboy itu juga menasihatkan mana-mana bakat baharu yang ingin memasuki pertandingan untuk membuang mentaliti dan kecenderungan untuk hanya membawakan lagu bernada tinggi.

“Jangan ada mentaliti yang mana hendak menyanyi karaoke atau pertandingan, mesti lagu bernada tinggi. Kadang-kadang lagu yang bernada rendah pun boleh jadi tarikan.

“Saya rasa perlu ada perubahan seperti itu. Saya pun tak mahu dengar orang menyanyi seperti saya sebab saya pun dah dengar suara saya sendiri sudah berpuluh tahun,” jelasnya.

Buat pertama kalinya syarikat rakaman Sony Music Malaysia bakal menganjurkan persembahan muzik secara langsung dan pencarian bakat yang menampilkan artis-artis tempatan popular termasuk Vanessa Reynauld, Yulia, dan ramai lagi.

Selain Naqiu, barisan juri lain yang mengadili pertandingan karaoke di acara The Ascott Star Rewards Festival 2025 termasuk Ara Johari dan Khai Bahar.

Dalam pada itu, pertandingan tersebut telah mendapat penyertaan seramai 250 peserta.

Pertandingan berkenaan turut dibuka kepada semua yang berminat dan setiap peserta berpeluang untuk merebut tawaran menjadi artis rakaman Sony Music Malaysia.

Festival anjuran Ascott Malaysia bakal berlangsung pada 24 hingga 27 Julai ini dari pukul 10 pagi hingga 9.30 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI