ZURICH – Bintang tengah Sepanyol, Aitana Bonmati melaungkan rasa bangga selepas mereka mencipta sejarah ke final Kejohanan Eropah buat kali pertama, susulan kemenangan dramatik 1-0 ke atas Jerman pada separuh akhir di Stadium Letzigrund awal pagi tadi.
Gol tunggal perlawanan hadir pada masa tambahan menerusi percubaan Bonmati pada minit ke-113 sekali gus memastikan kemenangan sulung skuad juara dunia itu ke atas Jerman dalam kejohanan utama.
“Kami telah mencipta sejarah lagi. Kami menewaskan Jerman buat kali pertama dan mara ke final Euro, sesuatu yang belum pernah kami capai sebelum ini,” katanya.
Pemenang Ballon d’Or wanita itu turut menegaskan skuad La Roja belum berpuas hati dengan pencapaian mereka setakat ini.
“Kami bangga menjadi sebahagian daripada generasi yang telah mencapai begitu banyak kejayaan, tapi misi kami belum selesai,” katanya.
Perlawanan akhir di St. Jakob Park, Basel awal pagi Isnin ini mempertemukan semula Sepanyol dan England seperti ulangan final Piala Dunia Wanita 2023 yang menyaksikan La Roja muncul juara menerusi jaringan tunggal Olga Carmona.
England mara ke final selepas menewaskan Itali di separuh akhir semalam dan mempunyai 24 jam rehat tambahan berbanding Sepanyol.
Namun, Bonmati yang mewakili Barcelona, langsung tidak bimbang dengan faktor keletihan biarpun sedar beberapa pemain gantian England seperti Chloe Kelly dan Michelle Agyemang sering membawa impak besar buat The Lionesses.
“Kami percaya dengan 11 pemain utama tetapi kami juga mempunyai ramai pemain di bangku simpanan yang mampu memberi impak lebih baik. Kami pasukan yang lengkap dan bersedia berdepan sesiapa sahaja,” tambah Bonmati.
Menurutnya, pertembungan menentang England dijangka sengit memandangkan kedua-dua pasukan sudah mengenali gaya permainan masing-masing. – AGENSI