BRASILIA – Bintang bola sepak Brazil, Neymar membeli sebuah kereta diinspirasikan daripada filem adiwira Batman pada harga AS$1.5 juta (RM6.3 juta), lapor portal berita VNExpress semalam.
Replika kereta digelar Batmobile Tumbler itu mirip kenderaan ikonik milik Batman yang ditampilkan dalam trilogi filem Dark Knight arahan Christopher Nolan.
Batmobile Tumbler merupakan satu daripada 10 model edisi khas dibina oleh studio Warner Bros sempena ulang tahun watak Batman ke-85.
Selain berukuran 4.65 meter panjang dan lebar 2.8 meter, ia dilengkapi enjin V8 berkapasiti 6.2 liter yang mampu menghamburkan 525 kuasa kuda.
Neymar merupakan peminat setia Batman dan tidak pernah ketinggalan menghadiri setiap tayangan filem tersebut.
Dia juga memiliki sebuah penthouse bernilai lebih AS$50 juta (RM211 juta) di Dubai, hartanah di Miami dan pulau persendirian di Brazil. – AGENSI