MELAKA – Seorang bekas anggota tentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan bapanya gara-gara tidak berpuas hati diminta untuk berbaik dengan adiknya, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Salihudin Hasan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan pindaan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas bapanya, Hasan Jaffar, 64, kira-kira pukul 10 malam di hadapan rumah mereka di Taman Peruna Sungai Lang, 18 Julai lalu.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Difahamkan, sebelum kejadian telah berlaku perselisihan faham antara tertuduh dengan adiknya dan si bapa telah meminta agar kedua-dua anaknya itu berbaik semula.
Tertuduh bagaimanapun enggan berbuat demikian lalu dimarahi warga emas berkenaan, menyebabkannya naik berang dan menampar bapanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian, mencadangkan jaminan RM8,000 dikenakan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan dia bekerja sendiri selain tiada wakil hadir untuk membayar jaminan bagi pihaknya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan menetapkan 2 September ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE