LONDON – Hasrat Granit Xhaka untuk kembali ,mewarnai Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menyertai Sunderland tidak kesampaian apabila pengendali Bayer Leverkusen, Erik ten Hag secara terbuka menolak perpindahan tersebut.
Xhaka, 32, dikatakan telah bersetuju untuk menyertai Sunderland menerusi kontrak tiga tahun, namun Ten Hag menganggap kapten Switzerland itu terlalu penting untuk dilepaskan selepas Leverkusen kehilangan tiga tonggak utama musim ini.
“Ejen dia boleh cakap apa sahaja tetaapi kami dah lepaskan tiga pemain penting. Granit masih ada tiga tahun kontrak dan dia terlalu penting untuk kami biarkan pergi,” kata Ten Hag.
Menurut ejen pemain tengah itu, Jose Noguera, Xhaka bersedia menghadapi cabaran baharu bersama Sunderland selepas menikmati kejayaan berganda bersama Leverkusen musim lalu.
“Granit mahu kembali ke England. Dia teruja dengan projek di Sunderland dan kami berharap Leverkusen akan menghormati kehendaknya sekali gus menemui kata sepakat,” kata Noguera.
Bagaimanapun, Leverkusen tetap berpegang teguh kepada pendirian bahawa perpindahan hanya boleh berlaku sekiranya ketiga-tiga pihak bersetuju.
“Saya dan jurulatih bersetuju Granit ialah pemimpin penting dalam pasukan. Isu ini melibatkan tiga pihak dan ia hanya boleh selesai jika semua bersetuju,” jelas Pengarah Urusan Sukan Leverkusen, Simon Rolfes.
Xhaka menyertai Leverkusen pada 2023 selepas tujuh musim di Arsenal dan memainkan peranan utama menjuarai Bundesliga dan Piala Jerman, selain tampil dalam 49 perlawanan bersama gergasi Jerman itu menamatkan saingan di tangga kedua musim lalu. – AGENSI