PETALING JAYA – Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, semua inisiatif diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bukanlah sebahagian daripada Belanjawan 2026.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, hal ini kerana Belanjawan 2026 hanya boleh diguna pakai pada tahun hadapan dan sebab itu, nama berkenaan ialah Belanjawan 2026.
“Kesemua penghargaan yang diumumkan semalam akan dilaksanakan tahun ini, bermula dengan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) untuk semua pada 31 Ogos 2025.
“Penghargaan khas ini diumumkan dengan mengambil kira keupayaan fiskal negara dan sebagai tambahan kepada apa yang telah direncanakan di dalam Belanjawan 2025,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Penjelasan tersebut bagi menjawab kenyataan segelintir pemimpin pembangkang termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung’ penurunan harga RON95 daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter dan bantuan RM100 secara ‘one off’ kepada semua orang dewasa di Malaysia.
Tunku Nashrul Abaidah berkata, pengumuman semalam juga khusus untuk menangani beban kos sara hidup rakyat dalam masa terdekat, manakala bantuan dan inisiatif lain untuk tahun depan akan diumumkan semasa Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Oktober ini.
“Sekurang-kurangnya penjimatan kos RON95 dapat membantu serba sedikit meringankan beban rakyat. Perlu diingat inilah buat pertama kalinya, semua rakyat tanpa mengira status sosial menerima ‘sesuatu’ daripada kerajaan sempena bulan kemerdekaan.
“Saya ingin mengambil sedikit masa untuk membantu Datuk Seri Sanusi memahami perbezaan antara bantuan dan belanjawan iaitu satu konsep asas pentadbiran yang barangkali sukar difahami beliau sepanjang menjadi Menteri Besar,” katanya.
Beliau berkata, Pejabat Perdana Menteri sentiasa bersikap terbuka sekiranya Menteri Besar Kedah memerlukan taklimat ringkas atau terperinci, agar tidak lagi ‘senget’, ‘gelong’ dan tersasar dalam membuat ulasan, lebih-lebih lagi bila ia melibatkan fakta asas pengurusan kewangan negara.
“Sekiranya tiada gangguan daripada ‘belalang di tepi lautan’ seperti Sanusi dan rakan-rakan, insya-Allah Kerajaan Madani akan berkongsikan lebih banyak kemakmuran kepada rakyat Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE