fbpx
AZEEM (dua dari kiri) telah memberikan aksi terbaiknya, namun masih belum mencukupi apabila meraih tempat keempat WUG 2025.

Azeem terus dibayangi prestasi Puripol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARAPAN skuad pecut negara kembali menjadi persoalan selepas pelari terpantas negara, Muhammad Azeem Fahmi sekali lagi gagal menamatkan dominasi seteru utama, Puripol Boonson.

Azeem tewas buat kali ketiga berturut-turut dengan terbaharu aksi final 100 meter (m) Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman.

Azeem, 21, mencatat prestasi terbaiknya pada WUG 2025 dengan catatan 10.35 saat (s), namun terlepas untuk menaiki podium apabila mengakhiri perlumbaan di tempat keempat berbanding Puripol yang meraih perak menerusi masa 10.22s.

Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut Azeem kepada bintang muda Thailand itu selepas final Kejohanan Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia dan Sukan Asia Hangzhou 2022.

“Tipulah kalau tak kecewa. Sasaran saya datang ke sini bukan sekadar ke final tapi untuk naik podium. Hanya selangkah lagi, tapi itulah kenyataan yang saya kena hadapi untuk jadi lebih baik,” kata Azeem kepada Bernama selepas perlumbaan.

Cuaca Eropah mungkin tidak menyebelahi Azeem, namun pemegang rekod 100m kebangsaan dengan masa 10.09s itu enggan menjadikan faktor tersebut sebagai alasan di sebalik kegagalannya.

Raja pecut WUG 2025 menjadi milik atlet Afrika Selatan, Bayanda Walaza yang meraih pingat emas dengan catatan 10.16s, manakala gangsa menjadi milik Hiroki Yanagita dari Jepun (10.23s).

Begitupun, pujian wajar diberikan kepada atlet dari Teluk Intan, Perak itu apabila mencipta sejarah sebagai pelari pertama negara membuat penampilan di pentas final 100m WUG.

Kini, Azeem selaku pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu perlu mencari jalan untuk memastikan Malaysia kembali merampas gelaran raja pecut Asia Tenggara menjelang Sukan SEA Thailand 2025 pada Disember nanti.

Kali terakhir skuad olahraga negara meraih pingat emas 100m Sukan SEA melalui Muhammad Haiqal Hanafi pada edisi 2019 di Manila, Filipina.

Bagaimanapun, Puripol yang memiliki rekod terbaik 100 dengan masa 10.06s dijangka terus menjadi halangan utama untuk menafikan Azeem atau pelari-pelari negara menamatkan dominasi bintang muda Thailand itu di pentas serantau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI