PETALING JAYA – Seorang lelaki yang mendakwa melihat satu kelibat makhluk halus ketika mendaki di Bukit Jugra, Banting mencuri perhatian netizen di media sosial.
Perkongsian oleh Bamjat di Threads memaparkan kelibat misteri itu dirakam secara tidak sengaja ketika dia memanggil rakannya yang berada di hadapan.
Apa yang menariknya, kelibat tersebut dilihat seakan-akan memakai pakaian tradisional pahlawan zaman dahulu.
“Pagi tadi solo naik bukit, aku saja rakam cari Kak Mala dekat depan, aku sorang dekat belakang dan tiada sesiapapun di belakang.
“Jadi bila aku tengok semula video ini tiba-tiba ada sorang dekat belakang aku tapi lepas beberapa saat kemudian sudah tiada sesiapa?” ujarnya pada hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mengakui kawasan itu memang ‘keras’ dan sering dikaitkan dengan kejadian mistik.
“Bang, aku orang Banting pun tak berani nak mendaki sama ada pagi atau petang sebab dah pernah kena kacau waktu pergi sini,” kata Niyahshahj.
“Kawan saya pernah kena juga. Dia cakap mula-mula ada orang dekat belakang dia tapi dia laju sahaja ke depan. Lama-lama dia tengok sudah tiada orang,” balas Shalizaaziz.
“Fuh kau memang kental bang mendaki Bukit Jugra ini, seram tempat ini, semoga selalu dilindungi,” komen Amirul Asyraf.
Sementara itu, ada juga yang menasihati lelaki berkenaan agar tidak memanggil nama individu secara jelas ketika berada di kawasan hutan.
“Lain kali dalam hutan jangan panggil orang jerit-jerit macam ini takut benda lain menyahut ye. Bukit Jugra itu tempatnya keras,” tulis Iamleez.
“Abang, dalam hutan jangan panggil nama kawan itu sebut ‘woo’ atau ‘yuhuu’ sahaja,” kata Aalia Nazar. -KOSMO! ONLINE