PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak memerlukan sebarang bentuk imuniti dan bersedia dibicarakan di mahkamah berhubung dakwaan isu Pulau Batu Puteh.
Dr. Mahathir mendakwa, beliau telah dijatuhi hukuman sebagai bersalah di Dewan Rakyat semalam kerana tidak mengemukakan rayuan berkenaan tuntutan ke atas pulau berkenaan.
Namun begitu, katanya, tiada sebarang tindakan lanjut diambil terhadapnya kerana faktor usia.
“Yang menghukum saya bersalah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan yang mengumumkan saya tidak perlu diambil tindakan juga adalah Datuk Seri Anwar.
“Ini bermakna Datuk Seri Anwar bukan sahaja Perdana Menteri, dia juga hakim dan juga pendakwaraya.
“Begitulah hebat kuasanya. Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwaraya atau hakim,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Menurutnya, kenyataan Anwar kononnya beliau sudah ‘berumur 100 tahun’ menjadi alasan utama tiada tindakan undang-undang dikenakan ke atasnya.
“Ini maknanya saya mendapat imuniti. Tetapi saya tidak mahu imuniti. Jika saya bersalah, bawa saya ke mahkamah dan buktikan,” katanya.
Jelasnya, hanya mereka yang takut dibicarakan kerana sedar bersalah akan mencari perlindungan menerusi imuniti.
Terdahulu, Anwar dalam sesi Dewan Rakyat menyentuh isu Pulau Batu Puteh dan menyatakan keputusan tidak mengemukakan rayuan semasa pentadbiran lalu adalah satu kesilapan besar.
Bagaimanapun, tiada tindakan diambil terhadap Dr. Mahathir atas alasan usia lanjut. – KOSMO! ONLINE