fbpx
Muhamad Norazlan pada Majlis Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-21, di Pangkalan Udara Subang, hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

TUDM perkukuh keupayaan sistem anti-dron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang giat memperkukuhkan keupayaan anti-dron bagi menangani ancaman dron dalam peperangan moden.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, penggunaan dron dilihat sebagai ancaman serius memandangkan ia murah namun berkesan.

“Kita boleh lihat sendiri bagaimana keberkesanannya menembusi pertahanan, jadi bagi TUDM, kita perlu ada strategi untuk melindungi diri daripada serangan sedemikian.

“Kita perlu membina keupayaan anti-dron. Sistem ini mesti mampu menangkis sebarang ancaman daripada dron,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Perintah Ulung Panglima TUDM ke-21, di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Markas Pemerintahan Operasi Udara sedang mengenal pasti jumlah sistem yang diperlukan serta lokasi strategik untuk penempatannya.

“Sistem ini bukan besar seperti ‘Iron Dome’ atau ‘Golden Dome’. Tetapi ia perlu diletakkan di lokasi penting yang boleh memberi kesan besar jika diserang.

“Buat masa ini, tumpuan adalah kepada kawasan yang melibatkan operasi TUDM. Polis dan agensi lain juga pasti ada perancangan masing-masing. Namun bagi TUDM, sistem anti-dron ini adalah keperluan kritikal untuk menghadapi ancaman dron bersaiz kecil,” jelasnya.

Menurut beliau, dron adalah mudah diperoleh dan boleh diubah suai untuk tujuan yang memudaratkan, menjadikan pemantauan serta kawalan penggunaannya amat penting.

“Penggunaan dron mesti dikawal supaya tidak disalah guna pihak tidak bertanggungjawab. Kita juga sentiasa memantau pergerakan dron,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI