PETALING JAYA – Ibu Allahyarham Zayn Abdul Matin memberitahu dia ada mencari anaknya di semua lokasi yang pernah dikunjungi bersama anak kecuali kawasan kebun berhampiran aliran sungai, bersebelahan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini.
Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata dia tidak berseorangan ketika mencari anak sulungnya itu tetapi turut ditemani suaminya Zaim Ikhwan Zahari pada hari kehilangan Zayn pada 5 Disember 2023.
Menurut Ismanira, pada mulanya dia mencari anaknya di semua kawasan apartmen itu termasuk Blok R, S dan A, namun selepas suaminya tiba dari tempat kerja, mereka bersama mencari Zayn Rayyan di 19 blok apartmen itu.
Ujarnya pencarian tidak tertumpu pada bangunan apartment namun melangkaui kawasan luar iaitu
Stesen minyak, restoran makanan segera, sekolah Zayn Rayyan, bangunan tempat kerja Ismanira, Apartmen Indah dan Apartmen Harmoni serta Prima Damansara yang terletak berdekatan kawasan perumahan mereka itu.
Pada masa sama, Ismanira turut bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa semua jarak premis, restoran segera dan stesen minyak serta pejabatnya jauh dari Blok R berbanding dengan kebun.
Pendakwaan : Kawasan dekat tak cari (kebun). Kawasan jauh cari, setuju? dan Ismanira menjawab ‘Setuju’.
Sementara itu ketika ditanya peguam mengapa dia dan suami tidak mencari Zayn di kawasan kebun pada hari kejadian kehilangan, saksi itu menjawab dia tidak perlu ke sana (kebun) kerana tidak pernah membawa Zayn ke kebun.
“Saya kenal anak saya dia merupakan kanak-kanak autisme dan dia akan pergi tempat yang dia biasa pergi tetapi tidak dia tidak pernah pergi ke kebun,” kata Ismanira.
Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Dr. Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi petang ini.
Semasa prosiding Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Mengikut pertuduhan pindaan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ismanira diperintah membela diri manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu. – KOSMO! ONLINE