Apabila seorang wanita memandu kereta kompak di lebuh raya utama dan diekori atau berada bersebelahan dengan bas, lori, treler pastinya timbul rasa kecut perut.
Mahu sahaja memecut jauh daripada armada besar yang berkuasa sebagai raja di jalan raya itu tetapi apakan daya pecutan kereta bersaiz comel ini tidak sederas SUV yang boleh dipandu dengan kelajuan 130 kilometer sejam.
Itu belum digambarkan lagi perasaan jika sedang menunggu di lampu isyarat. Mata tidak boleh leka melayan telefon pintar di sisi dalam keadaan kalut memandang ke kiri ke kanan khususnya di cermin belakang jika ada ‘abang’ lori memecut mengambil ruang di kawasan tersebut.
Bercerita tentang pemandu lori dan bas, pastinya persepsi negatif terhadap kerjaya tersebut semakin menebal dalam kalangan masyarakat sedangkan mereka yang benar-benar makan gaji dengan syarikat logistik, penghantaran yang mengoperasikan perniagaan ke negara jiran di Utara dan Selatan memiliki peraturan dan garis panduan yang ketat dalam tugasan masing-masing.
Mereka telah diberi latihan, kursus dan pelbagai ujian yang membolehkan mereka memiliki pengalaman dan kemahiran yang baik sebelum memandu membawa muatan yang melibatkan ribuan kilometer setiap masa.
Menurut salah seorang pengasas sebuah syarikat logistik yang ditemui penulis baru-baru ini, kebanyakan lori yang dibawa pemandu telah diselenggara dengan baiknya dan mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan selain rihat yang mencukupi sebelum memandu jauh.
Jelasnya, ada lori yang membawa muatan berbahaya seperti bahan kimia akan dilengkapi dengan kamera litar tertutup serta kerusi pemandu dimuatkan dengan sistem penggera yang boleh mengejutkan pemandu untuk membuatkan mereka sentiasa peka dengan pemanduan.
Tiada istilah mengejar komisen lebih untuk membolehkan mereka memandu laju tanpa mengutamakan nyawa sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.
Mereka dibayar gaji lumayan setiap bulan, berbaloi dengan masa yang dihabiskan di jalan raya, tugasan berat membawa muatan hingga ke sempadan negara dan merisikokan diri memandu kenderaan besar itu di lebuh raya serta di jalan raya.
Mereka juga individu biasa seperti kita, cuma pejabat mereka adalah di dalam ‘kepala’ lori yang berhawa dingin.
Pemandu juga memiliki keluarga, anak dan isteri, dengan mempunyai kemahuan dan keperluan selain mahu membesarkan anak-anak mereka dengan hasil halal untuk membolehkan anak-anak berjaya ke menara gading. Ia dibuktikan di media sosial apabila anak-anak pemandu lori berjaya memperoleh keputusan SPM cemerlang serta ada yang menggenggam segulung ijazah.
Kerjaya ini memang diperlukan dalam setiap industri dan laksanakanlah amanah tersebut dengan sebaiknya kerana tanpa pemandu, sesebuah ekosistem bisnes tersebut akan pincang dan terkesan.
Bagi pengguna, jangan simpan dendam dengan persepsi negatif terhadap kerjaya seorang pemandu, manakala bagi syarikat bersaiz kecil pula, tiada alasan diberikan untuk mereka kerana tanggungjawab mengutamakan tahap keselamatan yang tinggi terhadap kenderaan serta memilih pemandu yang memiliki rekod bersih daripada isu jenayah adalah satu amanah yang besar.














