KUALA LUMPUR – Aksi serba tidak menjadi dipamerkan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka China.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou sebentar tadi, bekas gandingan No.1 dunia itu terpaksa akur tewas 21-15, 15-21, 17-21 kepada beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju.
Meskipun memulakan perlawanan dengan langkah kanan menerusi kemenangan di set pertama, namun juara bertahan itu gagal mengekalkan aksi konsisten pada dua set berikutnya sebelum tewas dalam tempoh 56 minit.
Naib juara Terbuka Jepun minggu lalu itu pada awalnya mendahului set ketiga dengan kelebihan lima mata 13-8, namun gagal untuk menyekat kebangkitan Min Hyuk-Dong Ju yang kemudiannya melengkapkan kemenangan.
Sze Fei-Izzuddin kini memiliki masa lebih kurang sebulan bagi melakukan persiapan terakhir menjelang Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Paris, Perancis pada 25 hingga 31 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE