PETALING JAYA – “Ingat menegur jangan sampai mengaibkan.”
Demikian perkongsian pelakon Syafie Naswip dipercayai berkaitan teguran seorang pendakwah bebas berkaitan watak perempuan dibawakan dalam drama Hello Bam Bam.
Begitupun ketika dihubungi Kosmo! Online, Syafie atau nama lengkapnya Muhammad Syafie Naswip, 32, berkata, biar wakil produksi atau pengarah sahaja mengulas isu yang disuarakan pihak berkenaan.
Katanya, mereka lebih memahami keperluan karakter terbabit dalam naskhah yang masih dalam pembikinan itu.
“Rasanya saya tidak berikan komen terhadap perkara dibangkitkan dan lebih elok ajukan persoalan kepada penerbit atau pengarah.
“Saya pun baru tahu (teguran). Segala teguran atau nasihat yang baik kita tetap ambil kira,” katanya.
Terdahulu, sejak beberapa hari lalu Syafie memuat naik foto wataknya, seorang khunsa bernama Awin berserta keterangan gambar dalam hantaran Instagram.
Susulan itu, PU Syed menerusi akaun media sosialnya tampil memberikan teguran bahawa walau apa alasan pun karakter dibawakan itu menyalahi agama kerana lelaki beraksi sebagai wanita.
Dia berharap aktor terbabit peka selain menyedari kesalahan melakonkan watak berlainan jantina seperti digalasnya.
Sebelum ini PU Syed memang antara personaliti agamawan yang lantang bersuara serta memberikan teguran kepada mana-mana selebriti yang dilihat terkhilaf dalam sesuatu tindakan. – KOSMO! ONLINE