fbpx
Rusdi bercakap ketika sidang media Sindiket Penipuan Like & Share dan Laman Sesawang lucah di Menara KPJ hari ini. / M. FIRDAUS M. JOHARI

Sindiket penipuan like & share dan laman lucah tumpas, 57 individu dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 57 individu termasuk warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket penipuan like & share serta mempromosikan dan menguruskan pemasaran laman sesawang lucah yang menyasarkan warga India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 53 tahun itu ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan baru-baru ini.

Menurutnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan 26 wanita tempatan dua lelaki serta seorang wanita warga China.

“Mereka dipercayai mengendalikan sindiket penipuan berkaitan like & share serta laman sesawang lucah yang menjanjikan akses eksklusif kandungan streaming kepada pengguna di India,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.

Rusdi berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan beroperasi sejak tiga bulan lalu menerusi sebuah syarikat berdaftar menggunakan platform laman sesawang yang menawarkan perkhidmatan streaming kandungan lucah secara langsung.

“Pengguna yang berminat perlu like & share pautan tersebut sebelum diberikan akses percuma dalam tempoh masa terhad.

“Namun, untuk mendapatkan akses penuh, mereka perlu membuat bayaran dan melanggan keahlian bulanan,” jelasnya.

Menurut Rusdi, bayaran keahlian yang dikenakan bermula serendah 50 rupee (RM2.40) hingga 100 rupee (RM8.90) bagi pakej asas, 200 rupee (RM9.80) hingga 500 rupee (RM24.50) untuk premium dan 1,000 rupee (RM48.90) hingga 2,000 rupee (RM97.80) bagi pakej VIP.

Sindiket turut menggunakan laman web sebagai platform pembayaran, selain menjanjikan pulangan dalam bentuk bitcoin dan mata ganjaran sekiranya pengguna menonton video berdurasi panjang.

“Selepas bayaran dibuat, akaun pengguna akan disekat dan diminta membuat bayaran tambahan atas alasan kononnya melanggar terma dan syarat.

“Akaun tetap disekat meskipun bayaran tambahan dibuat, malah sindiket gagal dihubungi selepas itu,” katanya.

Katanya, enam individu telah didakwa di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan pada 4 Julai lalu dan mengaku tidak bersalah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI