SEBERANG PERAI – Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedang menunggu laporan lengkap dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung siasatan program motivasi rumah tangga Empowering Harmony in Total Intimacy (eHATI).
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, siasatan berhubung kes itu sedang berjalan menerusi kerjasama antara JAIS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pihak polis masih lagi jalankan siasatan, jadi kita tunggulah hasil daripada siasatan itu.
“Beberapa saksi telahpun dipanggil untuk membantu siasatan manakala penganjur juga akan dipanggil untuk memberikan keterangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sinar Lestari YAPEIM di Penaga di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa siasatan program eHATI dilakukan membabitkan dua aspek perundangan iaitu di bawah Kanun Keseksaan dan juga Enakmen Jenayah Syariah.
“Ya, ada dua siasatan dilakukan iaitu satu kesalahan di bawah Penal Code (Kanun Keseksaan)…satu lagi kesalahan di bawah Salah Jenayah Syariah,” katanya.
Media semalam melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan pihaknya memberi kebenaran kepada Syarikat eHati International Sdn Bhd bagi meneruskan program motivasi eHATI. – KOSMO! ONLINE